Pada zaman dahulu terdapat sebuah tasik yang sangat indah.
Airnya sungguh jernih dan di dalamnya ditumbuhi oleh pokok-pokok teratai yang
berbunga sepanjang masa. Suasana di sekitar tasik tersebut sungguh indah.
Pokok-pokok yang tumbuh di sekitarnya hidup dengan subur. Banyak burung yang
tinggal di kawasan sekitar tasik tersebut. Salah seekornya adalah burung
bangau. Manakala di dalam tasih hidup bermacam-macam ikan dan haiwan lain. Ada
ikan telapia sepat, kelah, keli, haruan dan bermacam-macam ikan lagi. Selain
daripada ikan,terdapat juga ketam dan katak yang turut menghuni tasih tersebut.
Burung bangau sangat suka tinggal di kawasan tasik tersebut
kerana ia senang mencari makan. Ikan-ikan kecil di tasik tersebut sangat jinak
dan mudah ditangkap. Setiap hari burung bangau sentiasa menunggu di tepi tasik
untuk menagkap ikan yang datang berhampiran dengannya.
Beberapa tahun kemudian burung bangau semakin tua. Ia tidak
lagi sekuat dulu untuk menangkap ikan. Kadang- kadang ia tidak memperolehi ikan
untuk dimakan menyebabkan ia berlapar seharian. Ia berfikir di dalam hatinya
seraya berkata “Kalau beginilah keadaanya, aku akan mati kelaparan kerana tidak
lagi berdaya untuk menangkap ikan. Aku mesti mencari jalan supaya aku dapat
memperolehi makanan dengan mudah”.
Burung bangau mendapat idea dan berpura-pura duduk termenung
dengan perasan sedih di tebing tasik. Seekor katak yang kebetulan berada di
situ ternampak bangau yang sangat murung dan sedih lalu bertanya “Kenapakah aku
lihat akhir-akhir ini kamu asik termenung dan bersedih sahaja wahai bangau?”.
Bangau menjawab ” Aku sedang memikirkan keadaan nasib kita dan semua penghuni
tasih ini.” “Apa yang merunsingkan kamu, sedangkan kita hidup di sini sudah
sekian lama tidak menghadapi sebarang masalah.” Jawab katak. “Awak manalah
tahu, aku sering terbang ke sana ke mari dan mendengar manusia sedang
berbincang tentang bencana kemarau yang akan menimpa kawasan ini dalam beberapa
bulan lagi. Kau lihat sajalah sejak akhir-akhir ini hari panas semacam aje,
hujan pun sudah lama tidak turun”. Bangau menyambung lagi “Aku khuatir tasik
ini akan kering dan semua penghuni di tasik ini akan mati.” Katak mengangguk-
ngangukkan kepalanya sebagai tanda bersetuju dengan hujah bangau tadi. Tanpa
membuang masa katak terus melompat ke dalam tasik untuk memaklumkan kepada
kawan-kawan yang lain.
Berita bencana kemarau telah tersebar ke seluruh tasih
begitu cepat dan semua penghuni tasik berkumpul ditebing sungai dimana bangau
berada. Masing-masing riuh rendah menanyakan bangau akan berita tersebut.
Seekor ikan haruan bertanya kepada bangau “Apakah cadangan engkau untuk
membantu kami semua?” Burung bangau berkata “Aku ada satu cadangan, tetapi aku
khuatir kamu semua tidak bersetuju.” “Apakah cadangan tersebut” kata haruan
seolah-olah tidak sabar lagi mendengarnya. Bangau berkata ” Tidak jauh dari
sini ada sebuah tasik yang besar dan airnya dalam, aku percaya tasik tersebut tidak
akan kering walaupun berlaku kemarau yang panjang.” “Bolehkah engkau membawa
kami ke sana” sampuk ketam yang berada di situ. “Aku boleh membawa kamu seekor
demi seekor kerana aku sudah tua dan tidak berdaya membawa kamu lebih daripada
itu” kata burung bangau lagi.. Mereka pun bersetuju dengan cadangan burung
bangau.
Burung bangau mula mengangkut seekor demi seekor ikan
daripada tasik tersebut, tetapi ikan- ikan tersebut tidak dipindahkan ke tasik
yang dikatakannya.Malahan ia membawa ikan-ikan tersebut ke batu besar yang
berhampiran dengan tasik dan dimakannya dengan lahap sekali kerana ia sudah
tidak makan selama beberapa hari. Setelah ikan yang dibawanya dimakan habis, ia
terbang lagi untuk mengangkut ikan yang lain. Begitulah perbuatanya sehingga
sampai kepada giliran ketam. Oleh kerana ketam mempunyai sepit ia hanya
bergantung pada leher burung bangau dengan menggunakan sepitnya. Apabila hampir
sampai ke kawasan batu besar tersebut,ketam memandang ke bawah dan melihat
tulang-tulang ikan bersepah di atas batu besar. Melihat keadaan tersebut ketam
berasa cemas dan berfikir di dalam hatinya “Matilah aku kali ini dimakan oleh
bangau.” Lalu ia memikirkan sesuatu untuk menyelamatkan dirinya daripada
ratahan bangau yang rakus. Setelah tiba di atas batu besar ketam masih lagi
berpegang pada leher bangau sambil berkata “Dimanakah tasik yang engkau katakan
itu dan kenapa engakau membawa aku di sini?” Bangau pun tergelak dengan
terbahak-bahak lalu berkata “Kali ini telah tiba masanya engkau menjadi rezeki
aku.” Dengan perasaan marah ketam menyepit leher bangau dengan lebih kuat lagi
menyebabkan bangau sukar untuk bernafas, sambil merayu minta di lepaskan, ia
berjanji akan menghantar ketam kembali ke tasik tersebut. Ketam tidak
mempedulikan rayuan bangau malah ia menyepit lebih kuat lagi sehingga leher
bangau terputus dua dan bangau mati di situ jua.
Dengan perasaan gembira kerana terselamat daripada menjadi
makanan bangau ia bergerak perlahan-lahan menuju ke tasik sambil membawa kepala
bangau. Apabila tiba di tasik, kawan-kawannya masih lagi setia menunggu giliran
masing-masing. Setelah melihat ketam sudah kembali dengan membawa kepala bangau
mereka kehairanan dan ketam menceritakan kisah yang berlaku. Semua binatang di
tasik tersebut berasa gembira kerana mereka terselamat daripada menjadi makanan
burung bangau yang tamak dan mementingkan diri sendiri. Mereka mengucakpan
terima kasih kepada ketam kerana telah menyelamatkan mereka semua.
(SELESAI)
No comments:
Post a Comment